Sekitar 30 minit pertama per­lawanan kelmarin, Negeri Sem­bilan dilihat menguasai per­mainan dengan tujuh hingga la­pan pemain di bahagian te­ngah sehingga me­rencatkan usaha Pa­hang untuk melan­carkan serangan ke kubu pelawat.

Bagaimanapun, Pahang mengalih fo­kus ke bahagian sayap untuk melakukan serangan, sekali gus mencipta beberapa peluang menerusi hantaran-hantaran si­lang sebelum disudahkan Patrick Cruz pada minit ke-26 ketika mencetak gol pertama buat skuad Tok Gajah.

“Saya cakap (beritahu) kepada pemain, kalau mereka (pemain Negeri Sembilan) terlalu ramai di bahagian te­ngah, kita kena banyak bermain di bahagian sayap dan hanya sesekali sahaja boleh tembus ke kawasan lawan dengan hantaran-hantaran silang.

“Sepanjang 30 minit pertama kita memang terkial-kial tetapi selepas gol pertama, corak permainan Pahang nampak jadi lebih baik. Ini juga adalah salah satu daripada perlawanan terbaik.

“Perlawanan ini agak serupa seperti kita (Pahang) menewaskan Selangor sebelum ini dan kalau dapat kekalkan cara permainan itu, saya percaya pasukan ini boleh pergi lebih jauh,” ujar Dollah ketika sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Cruz seterusnya menambah jaringan buat Pahang pada mi­nit ke-66 serta dua lagi gol yang disudahkan Francis Forkey Doe ketika perlawanan memasuki minit ke-45 dan ke-89 bagi mengecewakan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Cruz pula berkata, Forkey Doe turut memainkan peranan de­ngan cukup berkesan ketika menyenangkan tugas jentera bahagian tengah untuk melancarkan serangan pada perlawanan kali ini.

“Selepas menjalani latihan bersama pa­sukan sejak Februari lalu, akhirnya pa­da malam ini (kelmarin) kami dapat mempamerkan semuanya di atas padang.

“Kami sudah dapat bermain dengan lebih baik serta dapat melakukan ba­nyak hantaran pantas bersama Forkey Doe dan Mohamadou Sumareh ketika melakukan serangan. Ini sungguh bagus,” kata Cruz.