Bagaimanapun, kemenangan Osaka itu diiringi kritikan dan cemuhan penonton apabila mereka mendakwa Williams yang merupakan pemain tuan rumah menerima layanan buruk daripada pengadil perlawanan, Carlos Ramos.

Williams yang juga pemenang 23 kejuaraan Grand Slam dikenakan hukuman denda selepas dia didakwa melanggar etika permainan dengan menerima arahan dalam perlawanan, menghempas raket serta bertelagah dengan pengadil perlawanan.

Justeru, kontroversi yang berlaku itu sedikit sebanyak menenggelamkan kemenangan Osaka, namun pemain No.19 dunia tersebut tetap gembira apabila berjaya merealisasikan impiannya.

“Saya tahu semua penonton memberikan sokongan kepadanya dan saya meminta maaf kerana perlawanan berakhir seperti ini. Terima kasih kerana datang dan memberi sokongan pada perlawanan hari ini (semalam).

“Bertemu Serena di perlawanan akhir merupakan impian saya pada kejohanan ini dan saya gembira kerana bertemu serta menewaskannya. Kemenangan ini sangat bermakna kepada saya, lebih-lebih lagi sebagai membalas jasa ibu yang banyak berkorban,” kata Osaka.

Dalam pada itu, Persatuan Tenis Wanita Antarabangsa (WTA) akan melakukan siasatan terhadap insiden yang berlaku antara Williams dan Ramos selain mengucapkan tahniah kepada Osaka atas kejayaannya. – Agensi