Memandangkan pengiraan mata kelayakan ke Sukan Olimpik akan bermula pada Kejohanan Badminton Terbuka New Zealand hujung bulan ini, Liu Ying berpendapat mereka perlu melakukan percaturan terbaik bagi memastikan mereka tidak terlepas slot ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Justeru, dia dan Chan Peng Soon sedia untuk memperbaiki kelemahan menjelang Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China minggu depan serta Terbuka New Zealand bermula 30 April hingga 5 Mei depan.

“Memandangkan pengiraan mata kelayakan ke Sukan Olimpik akan bermula hujung bulan ini, sudah tentu kami tidak boleh mensia-siakan peluang tersebut. Kami perlu memperkemaskan corak permainan apabila berangkat ke Wuhan nanti.

“Saya tahu kami sekarang berada di ranking kelima dunia dan perlu mempertahankan kedudukan dalam kelompok lapan terbaik dunia. Oleh itu, kami perlu rancang sebaik-baiknya berhubung kejohanan yang akan disertai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sejak memenangi kejohanan Thailand Masters Januari lalu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu menampilkan aksi tidak konsisten apabila gagal menambah gelaran dalam enam kejohanan berikutnya, termasuk tersingkir di peringkat suku akhir pada Terbuka Si­ngapura minggu lepas.

Bagaimanapun, Liu Ying menegaskan, mereka mula kembali ke prestasi sebenar selain menganggap berada di landasan tepat untuk melangkah ke Sukan Olimpik jika menunjukkan peningkatan dari segi permainan menjelang kejohanan akan datang.

“Sebenarnya, kami sudah mula menemui rentak permainan sebenar tetapi belum berada pada tahap terbaik,” ujarnya.