Bekas pengurus Napoli yang menggantikan tempat Antonio Conte pada musim panas lalu itu mula berdepan tekanan apabila The Blues terkeluar daripada kelompok empat pasukan teratas, sekali gus menjejaskan peluang mereka dalam merebut gelaran liga musim ini.

Pada aksi itu, Chelsea terpaksa akur dengan kehebatan Bournemouth yang memperoleh dua gol menerusi Josh King serta satu gol masing-masing daripada David Brooks dan Charlie Daniels, sekali gus menghadiahkan kekalahan kedua berturut-turut buat Sarri yang tewas 0-2 kepada Arsenal hujung minggu lalu.

“Saya rasa sangat kecewa tetapi tidak berasa tertekan. Saya tidak nampak sebarang hasil daripada usaha saya, jadi ia amat mengecewakan.

“Mungkin ia memang salah saya kerana gagal memberi motivasi terbaik kepada pemain. Tetapi pemain pasukan ini sangat kuat. Mereka juga mampu memenangi perlawanan walaupun tanpa pengurus,” jelas Sarri.

Prestasi hambar Chelsea itu turut mengecewakan penyokong setia mereka di stadium sehingga ada yang melaungkan kepada Sarri, ‘kamu tidak tahu apa yang sedang kamu lakukan ini’.

Namun, Sarri menjelaskan, penyokong The Blues berhak untuk meluahkan kekecewaan mereka dan mengakui perlu segera memperbaiki kelemahan bagi perlawanan selepas ini.

“Kami perlu memohon maaf kepada penyokong kami. Kami boleh mengalami kekalahan dalam permainan, tetapi bukan dengan cara sebegini,” tambahnya. – Agensi