Selain Nuraini, seorang lagi tonggak kebangsaan iaitu pemain te­ngah, Fatin Shafika Mahd. Sukri turut terpilih menyarung jersi Butterfly Roma sehingga 5 November depan.

Nuraini, 29, enggan mensia-siakan peluang keemasan beraksi buat kali pertama di luar negara selain bertekad mengharumkan nama Malaysia di bumi Itali, negara ranking ke-17 dunia itu yang mara ke pu­singan kalah mati Piala Dunia Hoki Wanita 2018 baru-baru ini.

“Saya berasa berdebar-debar, takut dan pada masa sama, tidak sabar untuk me­lakukan yang terbaik di sana memandangkan ini adalah kali pertama saya akan bermain dalam saingan liga di luar negara.

“Saya masih belum mendapat gambaran jelas keadaan pasukan di sana tetapi saya tidak boleh malu atau segan untuk bertanya jika ada sebarang masalah untuk cepat menyesuaikan diri,” kata Nuraini.

Sementara itu, Fatin Shafika, 23, enggan menjadikan kece­deraan bibir dialami pada Sukan Asia 2018 di Indonesia sebagai penghalang untuk dia memberikan prestasi terbaik, sekali gus membalas kepercayaan Butterfly Roma.

“Saya mendapat 12 atau 13 jahitan di bahagian mulut selepas terkena bola sewaktu Sukan Asia baru-baru ini. Alhamdulillah ia semakin baik dan rasanya tidak akan menjejaskan prestasi kerana saya mahu beraksi baik di Itali nanti,” jelasnya.

Kedua-dua bintang Malaysian Tigress itu sudah berlepas ke Rom dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kelmarin dan dijangka menghadapi aksi pertama menentang kelab dari Cagliari, Polisportiva Ferrini pada 23 September ini.

Selain Nuraini dan Fatin, dua lagi penyerang negara, Hanis Nadiah Onn serta Wan Norfaiezah Md. Saiuti juga telah berlepas ke Berlin, Jerman untuk mewakili Wespen Zehlendorfer dalam saingan 1, Bundesliga Jerman.

Hanis dan Wan Norfaeizah dijangka membuat penampilan pertama bersama Zehlendorfer yang sudah tewas dua perlawanan setakat ini, menentang Red-White Cologne serta Dusseldorf HC pada Sabtu dan Ahad ini.