Antara yang menjadi perhatian ialah pakar flick, Nuraini Abdul Rashid yang dirisik oleh pasukan kelompok empat teratas England, East Grindstead HC dan kelab lamanya di Itali, Butterfly Roma HC.

Ia disebabkan persembahan cemerlang dipamerkan Nuraini, 30, selain keupayaan hebatnya menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti sehingga muncul antara calon memenangi Anugerah Pemain Terbaik Kejohanan Final Siri Hoki Dunia.

Ketua Jurulatih Malaysian Tigress, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mendedahkan, ramai jurulatih termasuk dari Republik Czech memilih Nuraini untuk meraih anugerah itu tetapi tidak menjadi kenyataan kerana ia diberikan kepada bintang Ireland, Anna O’Flanagan.

“Nuraini dapat dua tawaran daripada Butterfly dan East Grindstead yang juga mahu te­rus menggunakan khidmat Farah Ayuni Yahya (penjaga gol No. 1 skuad negara).

“Saya lebih berminat untuk melihat Nuraini bermain dengan East Grindstead di England kerana cabarannya lebih sengit. Jadi, saya boleh cadangkan nama pemain lain untuk mengisi tempat Nuraini untuk Butterfly Roma.

“Jurulatih East Grindstead turun melihat beberapa perlawanan kami di sana (Ireland Utara) dan dia tertarik dengan persembahan Nuraini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kelmarin.

Butterfly Roma juga dikatakan mahu Fatin Shafika Mahd. Sukri kembali beraksi dengan mereka selepas pemain tengah itu berjaya menampilkan prestasi cemerlang ketika menyarung jersi pasukan berkenaan sebelum ini.

Difahamkan, kelab Jerman, Wespen Zehlendorfer turut berminat mengambil semula dua penyerang skuad negara, Wan Norfaiezah Md. Saiuti dan Hanis Nadiah Onn selain pemain berusia 15 tahun, Kirandeep Kaur Gurdip Singh yang dirisik oleh satu lagi kelab dari Itali, Lazio.