Hari ini, Kuala Lumpur bakal menanti kunjungan skuad Harimau Selatan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras untuk aksi ketiga Liga Super.

Bagaimanapun timbul dakwaan bahawa KLFA sanggup ‘menggadaikan’ kuota tersebut kepada peminat-peminat luar berbanding penyokong sendiri demi kepentingan peribadi.

Mengulas mengenai situasi itu, Nokman menegaskan, tuduhan tersebut tidak berasas ke­rana KLFA sentiasa menjaga kebajikan peminat-peminat skuad The Hawks.

“Itu satu tuduhan tidak benar. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memberikan arahan-arahan terperinci berhubung tempat duduk penyokong kedua-dua pasukan.

“Kita sudah menyediakan bahagian kepada penyokong-penyokong. 50-50, bukannya 20 kepada Kuala Lumpur dan 80 peratus kuota diberikan kepada peminat-peminat JDT.

“Namun perubahan kuota itu mungkin bertukar kepada 40 kepada Kuala Lumpur dan 60 kepada JDT atau 45 kepada Kuala Lumpur atau JDT sebanyak 55 peratus kerana kami sedar Kuala Lumpur tidak memiliki ramai peminat seperti JDT.

“Namun jika penyokong-penyokong Kuala Lumpur boleh beri jaminan untuk meme­nuhi stadium dengan membeli tiket, KLFA boleh memberikan tiga per empat kapasiti tempat duduk. Jika tidak boleh, lebih baik tempat duduk kosong itu diberikan kepada peminat yang sanggup membeli tiket kerana KLFA mahu menjana pendapatan hasil kutipan tiket,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, Nokman berharap tuduhan liar seperti itu tidak ditimbulkan kerana KLFA sentiasa mengutamakan peminat-peminat tuan rumah.

“Jadi, saya berharap perkara ini tidak timbul pada masa akan datang. Jika benar peminat-peminat Kuala Lumpur ramai sehingga lebih 3,000 orang, kami akan beri jaminan kuota pasukan tuan rumah menjadi kelebihan buat mereka.

“Namun jika hanya yang datang sekitar 1,000 orang, seperti saya katakan tadi tempat duduk kosong itu baik diberikan kepada peminat yang bayar tiket kerana KLFA mahu menjana pendapatan.

“Jika betul peminat-peminat Kuala Lumpur itu ramai, sila penuhkan Stadium Kuala Lumpur,” ujarnya.