Pelumba kelahiran Finland itu tampil dengan aksi mantap di Litar Red Bull Ring untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-21 selepas bermula dari petak ke-29.

Bagaimanapun, kegagalan menamatkan saingan dalam kelompok 20 pelumba terbaik itu telah menyebabkan pelumba baharu Moto2 tersebut meninggalkan Austria dengan sedikit kekecewaan.

Tuuli bertekad untuk tampil dengan aksi terbaik pada GP Britain bagi membina semula keyakinan, sekali gus mengutip mata penting.

“Perlumbaan di Austria sebelum ini sangat sukar. Jadi, saya tidak sabar untuk berlumba semula di Litar Silverstone.

“Saya perlu belajar menyesuaikan diri dengan pantas di litar ini dan menampilkan aksi yang konsisten.

“Saya mahu menikmati minggu yang menarik, kembali positif dan mendapatkan semula momentum.

“Harap hari tidak hujan dan keadaan litar kekal kering. Jadi, saya boleh menampilkan aksi terbaik.

“Sasaran saya tetap sama iaitu bertarung untuk mengutip mata dan ini adalah fokus utama saya di litar ini,” katanya.