Menurut anggota Polis Diraja Malaysia itu, kejayaannya meraih podium ketiga pada perlumbaan terbesar di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 baru-baru ini memberi petunjuk bahawa prestasinya sedang berada di kemuncak.

“Selepas berakhirnya LTdL, saya berehat selama tiga hari dan ia sudah cukup untuk mengembalikan tenaga serta merehatkan kaki selepas melalui perlumbaan yang sukar.

“Sekarang ini saya sudah dapat melihat prestasi saya sedang berada di kemuncak. Malah semua pelumba negara yang mengambil bahagian juga berada pada tahap terbaik.

“Apa yang berlaku pada LTdL sebenarnya adalah bukti bahawa pelumba Malaysia memiliki kualiti yang sangat baik dan setanding dengan pelumba Eropah.

“Saya sangat bangga apabila dapat meraih podium ketiga di LTdL buat kali pertama. Malah kemenangan saya itu juga telah menenggelamkan ramai pelumba dari pasukan Jelajah Dunia. Sedikit sebanyak ia telah memberi motivasi kepada saya untuk terus memburu kejayaan.

“Saya terlepas peluang untuk me­rangkul jersi kuning di LTdL. Justeru, saya mahu manfaatkan peluang beraksi di Jelajah Thailand ini untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan (jersi kuning).

“Malah saya juga akan berusaha keras untuk mendapatkan beberapa podium sekali gus dapat mengumpul mata bagi mengukuhkan kedudukan pasukan,” kata­nya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, pelumba yang menyertai skuad Forca Amskins Racing (FAR) itu melakar sejarah peribadi apabila memenangi tempat ketiga pada perlumbaan peringkat ketiga LTdL yang berlangsung dari Kota Bharu, Kelantan hingga Kuala Terengganu.

Selain dinobatkan sebagai pemenang podium ketiga, pelumba berusia 28 tahun itu turut dinobatkan sebagai penyandang jersi putih selaku pelumba terbaik Asia selain pelumba terbaik Malaysia.

Bagaimanapun dia terlepas kesemua gelaran tersebut setelah perlumbaan me­ma­­suki peringkat kelima membabitkan jarak 169.4 ki­lometer (km) dari Bentong ke Cameron Highlands, Pahang.

Perlumbaan kategori 2.1 itu membabitkan enam pe­ringkat perlumbaan dengan jarak sejauh 1,064km.