Anak kelahiran Kampung Keroh, Kuala Krai itu berkata, dia tekad untuk melonjakkan semula nama TRW dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

“Beraksi bersama negeri kelahiran (Kelantan) adalah sesuatu yang baik untuk perjalanan karier saya dalam sukan bola sepak.

“Impian saya musim depan ingin menaikkan semula nama Kelantan sebagai antara kuasa bola sepak di Malaysia,” katanya.

Pengumuman itu pastinya menggembirakan peminat TRW selepas timbul khabar angin ‘ubi muda’ Kelantan itu diintai oleh beberapa pasukan ternama Liga Super.

Bukan itu sahaja, tonggak yang memakai jersi No. 33 itu dilaporkan berada dalam radar sebuah kelab yang berpangkalan di Thailand.

Dalam perkembangan lain, Nik Akif memberitahu, segala pengalaman ketika beraksi bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) negara akan dimanfaatkan untuk membantu pasukan B-19 kebangsaan dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) nanti.

Katanya, saingan B-19 AFC di Indonesia yang bermula 18 Oktober ini merupakan salah satu tanggungjawab cukup besar buat dirinya.

“Saya perlu memberikan komitmen yang tinggi dan menggunakan segala pengalaman untuk membalas kembali kepercayaan diberikan oleh ke­tua jurulatih, Bojan Hodak.

“Bagaimanapun, saya perlu bekerja keras untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama,” ujarnya.