Lebih manis, ia merupakan koleksi pingat ketujuh yang diperoleh atlet kelahiran Pulau Pinang itu selepas memenangi buat kali pertama pada edisi 1998 di Bangkok, Thailand.

Dominasi atlet wanita negara di gelanggang skuasy dijangka berterusan, sekali gus memungkinkan skuad wanita negara untuk menambah satu lagi emas menerusi acara berpasukan yang bermula hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung sengit semalam, Nicol yang menyambut hari lahir yang ke-35 mencatatkan kemenangan 11-13, 11-9, 5-11, 11-6, 11-8 ke atas pemain remaja negara itu.

Nicol berkata, kejayaan menyumbang emas Sukan Asia pada kali ini memberi makna yang sangat berbeza kerana ia akan menjadi penampilannya yang terakhir dalam temasya sukan terbesar Asia itu.

“Perlawanan final ini se­perti yang dijangka berlangsung dengan cukup sengit kerana bukan mudah untuk bertemu dengan rakan senegara. Pujian wajar diberikan kepada Sivasangari yang berjaya membuktikan dirinya antara yang ia terbaik di Malaysia.

“Selain itu, saya akui ia adalah hadiah hari jadi yang sempurna buat saya selain ini adalah penampilan terakhir saya dalam pentas Sukan Asia.

“Bagaimanapun, saya akan memberi tumpuan dahulu kepada acara berpasukan yang dilihat berpotensi untuk menambah pingat buat negara,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Sebagai rekod, Nicol telah memenangi pingat emas acara perseorangan pada edisi 1998, 2006 (Doha), 2010 (Guangzhou), 2014 (Incheon) dan acara berpasukan sebanyak dua kali pada edisi 2010 dan 2014.

Mengulas lanjut, Nicol berharap, Sivasangari tidak kecewa dengan kekalahan itu kerana dia baru berusia 19 tahun dan kini berada dalam landasan terbaik untuk menjadi pemain pelapis skuasy negara di pentas antarabangsa.

“Saya akui pengalaman memainkan peranan penting buat saya pada aksi final kali ini tetapi Sivasangari berjaya memberi tekanan sehingga memenangi dua set.

“Dia berada dalam tahap terbaik dan saya harap kejayaan beraksi di pentas final mampu memberikan pengalaman untuk muncul juara pada kejohanan akan datang,” katanya.