Nickhileswar yang merupakan pilihan pertama kejohanan bangkit daripada tewas pada set pertama untuk mengatasi pemain pilihan kedua dari Mesir, Chris Baddour dengan keputusan 9-11, 11-7, 11-4, 11-6 dalam tempoh 49 minit.

“Saya berasa sangat hebat. Saya beraksi dengan baik dan saya gembira dengan permainan hari ini (semalam). Kemena­ngan ini saya dedikasikan kepada ibu yang akan menyambut hari jadinya esok (hari ini),” kata Nickhileswar yang dipetik daripada laman web kejohanan, www.britishjunioropen.com.

Nickhileswar menjadi wakil pertama negara menjuarai BJO 2019 selepas wakil Malaysia bagi kategori wanita B-11, Whitney Wilson yang terlebih dahulu ­beraksi di pentas final gagal menjulang kejuaraan.

Pada aksi pertama final BJO 2019 itu, Whitney terpaksa akur dengan kehebatan pemain pilihan ketiga kejohanan dari India, Anahat Singh yang menewaskannya dengan keputusan 13-11, 11-9, 7-11, 11-9 dalam tempoh 27 minit.

Selain Nickhileswar dan Whitney, pemain remaja negara yang turut mara ke pentas final ialah Aira Azman, Harith Danial Jefri dan Ameeshenraj Chandaran yang beraksi lewat malam tadi.

Aira yang turun selaku juara bertahan berdepan pilihan kedua kejohanan, Salma El Tayeb bagi kategori wanita B-15 selepas menewaskan wakil tuan rumah, Torrie Malik dengan keputusan 12-10, 12-10, 11-3 pada aksi separuh akhir kelmarin.