Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, bintang yang lebih dikenali sebagai DJ Forbes itu akan bergandingan dengan barisan kejurulatihan tempatan di Ipoh dalam usaha mempersiapkan skuad kebangsaan menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Meskipun seminggu itu suatu tempoh yang singkat, beliau berharap kehadiran ikon ragbi dunia itu, yang bertanggungjawab memastikan kilauan pingat emas Sukan Komanwel 2006 dan gelaran juara Piala Dunia 7’s 2013 menjadi milik New Zealand, dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain negara.

“Forbes akan me­mulakan tugasnya bermula 25 Mac ini. Walaupun seminggu itu tempoh yang singkat namun, saya percaya dengan pengalaman luas yang dimiliki beliau tempoh tersebut pasti menjanjikan satu pengalaman berharga buat pemain negara.

“Kehadiran Forbes amat ditagih kerana beliau adalah seorang pemain hebat dan sangat terkenal. Beliau akan membantu pasukan dari segi taktikal dan teknikal selain berkongsi input berguna untuk membantu memperkemas persiapan pasukan,” katanya.

Pada masa sama, Shahrul berkata, KRM komited untuk mengangkat martabat sukan ragbi negara, namun menyifatkan faktor kewangan sebagai penghalang utama bagi merealisasikan impian itu.

Menurutnya, KRM berhasrat mendapatkan khidmat jurulatih luar sepenuh masa yang memiliki pengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa seperti Forbes untuk melatih kedua-dua skuad 7’s dan 15’s negara.

“Tujuan utama adalah kita nak bawa pasukan negara ke satu tahap terbaik iaitu di peringkat dunia. Sebab itu kita perlukan jurulatih terbaik tetapi segala-galanya memerlukan wang. Buat masa ini, kami hanya mampu membuatnya secara berkala,” katanya.

Skuad ragbi 7’s kebangsaan yang melakar sejarah apabila merangkul pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Ogos lepas, juga pernah menerima sentuhan secara berkala oleh seorang lagi bekas kapten All Blacks, Edwin Cocker. – Bernama