Kekecewaan jelas terpancar di wajah Qabil apabila hanya dibezakan 0.425 mata dengan juara kese­luruhan dari Hong Kong, Jacqueline Wing Ying Siu dengan catatan 77.045 mata, manakala gangsa menjadi milik atlet muda Korea Selatan, Kim Hyeok (75.705).

Bagaimanapun, atlet berusia 38 tahun itu tidak kecewa dengan ­prestasinya apabila akhirnya berjaya menuai perak selepas 20 tahun penyertaannya sejak memulakan aksi pertama Sukan Asia Bangkok, Thailand pada 1998.

Sebagai rekod, Qabil pernah me­raih dua pingat gangsa dalam acara dressage individu pada temasya Doha, Qatar 2006 dan Guangzhou, China 2010.

“Kekecewaan pasti ada kerana dibezakan dengan jumlah mata yang kecil. Saya lihat Rosentolz sedikit tertekan ketika masuk arena ini, jadi pemberian markah terpulang kepada pengadil perlawanan.

“Penyertaan ini sangat berbaloi kerana saya tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi tetapi akhirnya berjaya membawa pulang pingat perak buat kontinjen negara,” katanya.

Pada temasya ini, Qabil berbelanja besar untuk membawa Rosentolz milik adiknya, Quzandria Ambak yang berharga RM800,000 dari Denmark.

Qabil menyertai Sukan Asia 2018 atas tiket kategori B dan memenangi pingat temasya di Jakarta itu membolehkan segala kos yang ditanggung sendiri sebelum ini bakal dibayar balik oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Untuk beraksi dalam temasya ini memerlukan kos RM1 juta terma­suk penjagaan kuda, penerbangan, pemeriksaan kesihatan dan sebagainya. Bagaimanapun kos tersebut tidak termasuk dengan pembelian kuda (RM800,000),” ujarnya.

Atas kejayaan tersebut, Qabil berharap pihak berwajib terus memberi sokongan terutama dari segi kewangan kerana kos sukan itu amat tinggi.