Biarpun me­nguasai sebahagian besar perlawanan, permukaan padang basah dilihat merencatkan persembahan menarik pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe (gambar kecil) yang lebih banyak menggunakan hantaran pendek.

Pada aksi itu, skuad negara bermula dengan baik apabila me­lancarkan serangan yang diketuai kapten Harimau Malaya, Moha­mad Zaquan Adha Abd Radzak.

Bagaimanapun, Harimau Malaya dihukum awal pasukan tuan rumah yang membuka tirai jaringan menerusi Wu Chun-ching pada minit ke-13 apabila penyerang Taiwan itu bijak mengatasi perangkap ofsaid melepasi pemain pertahanan negara, Muhammad Fazly Mazlan.

Pasukan bimbingan Gary White kemudiannya memanfaatkan kelebihan bermain di padang basah apabila menggandakan kedudukan menerusi Chu En-le pada minit ke-53, sekali gus keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Bagaimanapun, Cheng Hoe yang memuji komitmen pemain-pemainnya, tidak berminat untuk menggunakan faktor padang basah sebagai punca kekalahan pasukan negara, sebaliknya menuntut Harimau Malaya bangkit apabila bertemu Kemboja pada aksi persahabatan kedua di Phnom Penh, Isnin ini.

“Saya tidak mahu menggunakan alasan padang tetapi malam ini (semalam) kita masih perlu memperbaiki beberapa perkara sebelum berlepas ke Kemboja.

“Perlawanan malam ini (semalam) memaksa saya tukar sedikit cara permainan dan secara peribadi, saya sangat kecewa dengan kekalahan ini kerana kita mengharapkan kemenangan.

“Saya berharap kekalahan ini memberikan banyak pengajaran kepada pemain-pemain supaya bermain mengikut situasi sebagaimana kita beraksi di atas padang basah di sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe berharap kekalahan itu menjadi pembakar semangat buat barisan pemain negara untuk menentang Kemboja sekali gus menghadirkan satu keputusan lebih positif.