Pada perlumbaan tersebut, pelumba berusia 28 tahun itu berada dalam kedudukan terbaik untuk meraih podium sebelum berlaku kemalangan bersama Stephanie Morton dari Australia serta Simona Krupeckaite (Lithuania) ketika saingan menghampiri kira-kira 200 meter (m) menuju ke garisan penamat.

Lebih malang, pemenang pingat perak Sukan Asia 2014 itu turut dituduh sebagai punca kemalangan tersebut berlaku, sekali gus memaksa komisar kejohanan membatalkan penyertaan Fatehah pada perlumbaan itu.

Sekiranya komisar perlumbaan kekal dengan keputusan membatalkan penyertaan Fatehah, ini bermakna penglibatan pelumba kelahiran Terengganu di Manchester akan menjadi sia-sia kerana akan pulang tanpa memungut sebarang mata.

"Ia adalah satu pengalaman berharga apabila saya berjaya mara ke final acara keirin hari ini (kelmarin). Namun, nasib tidak menyebelahi saya kerana terlibat dalam kemalangan dengan pelumba Australia (Stephanie) dan Lithuania (Simona) ketika saingan memasuki 200 meter terakhir.

"Semasa melakukan kayuhan, saya berkeyakinan tinggi untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan podium. Bagaimanapun, impian saya hancur berkecai apa­bila terlibat dalam kemalangan yang turut menjadi punca saya di­singkirkan daripada perlumbaan.

"Mujur saya hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian bahu serta paha," katanya.

Laman Instagram Kosmo! yang memuat naik rakaman insiden tersebut menjadi fenomena apabila menerima tontonan sebanyak 68,604 setakat pukul 10 malam tadi.

Terdahulu, pada perlumbaan siri pertama di Pruszkow, Poland, juara keirin dunia, Azizulhasni Awang turut terlibat dengan kemalangan pada saingan keirin yang berlangsung Sabtu lalu.

Kemalangan tersebut menyebabkan Azizulhasni mengalami kecederaan buku lali kiri.

Sementara itu, Fatehah turut berjanji untuk kembali bangkit khususnya pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Malaysia pada Februari tahun depan.

"Saya akan bangkit lebih kuat dan pantas di pentas ACC dan Kejua­raan Dunia 2018," katanya.