Kemasukan Vierge meleng­kap­kan kuota dua pelumba pasu­kan Petronas Sprinta Racing yang akan beraksi pada Kejuara­an Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan bersama seorang pelumba muda negara, Khairul Idham Pawi.

Persoalan timbul sama ada pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mendapat tempat dalam pasukan Petronas Sprinta Racing selepas kedudukannya bersama pasukan Tech3 bagi kelas premier telah digantikan dengan Brad Binder.

“Bagi pasukan Petronas Sprinta Racing, kehadiran Vier­ge adalah perkembangan yang menarik. Pertama, dia merupakan pelumba pantas dan mampu mempamerkan aksi terbaik untuk menaiki podium. Kedua, dia akan menjadi salah seorang dari­pada dua pelumba kami dalam Moto2.

“Kami akan mempunyai dua pelumba pada saingan Moto3, Moto2 dan MotoGP tahun depan. Kami sedar tahun 2019 adalah musim sukar untuk pasukan Moto2 dan kami berharap Khairul Idham akan pulih sepenuhnya serta berlumba bersama Vierge musim depan,” kata Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali.

Pada musim ini, Khairul Idham berdepan tugas berat apabila masih mengalami kecedera­an dan dalam proses pemulihan dan bekas pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin diberi peluang menggantikan tempat Khairul Idham menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino minggu depan.

Sementara itu, Vierge yang meraih tiga kali podium dalam saingan Moto2 bertekad untuk mencatat sejarah baharu bersama pasukan Petronas Sprinta Racing musim depan.

“Saya sangat gembira dan tidak sabar untuk memulakan projek ini. Petronas Sprinta Racing adalah pasukan yang menakjubkan kerana mereka telah meraih kemenangan dalam saing­an Moto3 dan MotoGP. Saya harap mampu berada dalam senarai tersebut musim depan,” ujarnya.