Menerusi kemenangan tersebut, The Blues memastikan mereka menang dengan agregat 5-3, sekali gus menempah aksi separuh akhir menentang kelab Jerman, Eintracht Frankfurt.

Meskipun selesa mendahului 4-1 pada separuh masa pertama, namun aksi goyah yang ditampilkan Chelsea selepas waktu rehat hampir memakan diri apabila membenarkan Prague menambah dua lagi gol bagi menjadikan kedudukan 4-3.

Justeru, Sarri menegaskan, pemain-pemain sepatutnya menampilkan aksi lebih baik pada separuh masa kedua selain mengakui pasukannya terlalu yakin layak ke separuh akhir sebaik tamat separuh masa pertama.

“Kami bermain sangat baik pada separuh masa pertama. Bagaimanapun, kami masih belum memperbaiki kelemahan apabila sering memulakan aksi separuh masa kedua dengan buruk sejak dua bulan lalu.

“Kami melakukan beberapa kesilapan pada 10 minit pertama separuh masa kedua hingga membolehkan pasukan lawan menjaringkan dua gol. Saya sudah menggesa pemain agar tampilkan aksi seperti separuh masa pertama, namun mereka tidak lakukannya,” kata Sarri.

Dalam pada itu, beliau juga mengesahkan kecederaan pemain sayap, Eden Hazard tidak terlalu serius dan pemain antarabangsa Belgium berkenaan akan turun menentang Burnley bagi saingan Liga Perdana England (EPL) awal pagi Selasa ini.

“Tidak ada sebarang kecederaan serius yang dialaminya, ia hanyalah kekasaran biasa. Saya fikir dia akan pulih sepenuhnya menjelang perlawanan menentang Burnley nanti,” ujarnya. – Agensi