Ketua jurulatih Malaysian Tigress, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah sempat meluangkan masa menyaksikan perlawanan dua anak didiknya itu mengharungi aksi kedua pada saingan 1 Bundesliga menerusi live streaming (secara langsung).

Dhaarma, 49, mengakui nama Hanis, 22, akan melonjak di bumi Jerman jika Pemain Harapan Terbaik Asia 2016 itu berjaya meledak gol, namun percubaannya diselamatkan penjaga gol Dusseldorfer pada aksi yang berkesudahan seri 1-1.

“Kalau Hanis berjaya jaringkan peluang itu, mesti keadaan akan menjadi gempar di sana. Apa pun ada tiga perkara ketara perlu dipertingkatkan dari segi mendapatkan bola, hantaran dan terjahan (tackling) untuk merampas bola.

“Beri mereka masa untuk mendapatkan persefahaman dengan rakan-rakan sepa­sukan baharu dan juga taktikal permainan. Ia akan mengambil sedikit masa tetapi saya lihat mereka seperti tiada masalah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Aksi kelmarin merupakan perlawanan kedua buat Hanis dan Wan Norfaiezah, 23, selepas terdahulu membuat debut pertama pada saingan 1 Bundesliga sewaktu tewas 0-3 kepada Rot-Weiss Koln, Sabtu lalu.

Gol Dusseldorfer kelmarin dijaringkan Lisa Nolte pada minit ke-35, sebelum Zehlendorfer yang diberi gelaran Wasps mencipta kejutan meledak jaringan penyamaan melalui Janique Bohrmann ketika permainan berbaki tujuh minit untuk tamat.

Ketua jurulatih Zehlendorfer, Carsten Vahle gembira dengan keputusan itu kerana ia merupakan mata pertama buat mereka yang baru dinaikkan pangkat ke saingan divisyen utama musim ini.

“Kami bernasib baik kerana berjaya mendapatkan keputusan ini. Pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana bersabar mengekang asakan Dusseldorfer dan saya gembira walaupun banyak perkara perlu dilakukan selepas ini,” jelasnya.

Aksi seterusnya buat Hanis dan Wan Norfaiezah bersama Zehlendorfer adalah menentang Berlin HC pada 16 September ini sebelum menanti kunjungan Bremer HC (22 September) dan pendahulu liga, Club on the Alster (23 September).