Najwa, 28, sekadar meraih tempat ketujuh pada aksi final di Pusat Sukan dan Rekreasi Carrara semalam sekali gus menyaksikan dia gagal membawa pulang sebarang pingat dalam tiga penampilannya pada Sukan Komanwel.

Bagaimanapun, Najwa sebenarnya patut berbangga dengan pencapai­annya kerana dia layak menyertai edisi ke-21 di Gold Coast itu atas usaha dan pelaburan wang ringgit sendiri.

Individu paling istimewa dalam perjalanan Najwa kali ini ialah suaminya, Mohammad Hafizan Ahmas Zaini yang bekerja keras memastikan impian Najwa ke Sukan Komanwel kali ini tercapai.

“Saya berhenti selepas tamat Sukan Komanwel 2014 dan keluar daripada program MSN (Majlis Sukan Negara) pada 2015. Saya berlatih sendiri walaupun saya berhenti angkat berat selama tiga tahun.

“Saya kembali membuat kemunculan atas nasihat dan dorongan suami saya tahun lepas yang mahu melihat saya beraksi pada Sukan Komanwel buat kali terakhir.

“Saya lakukan semua dengan duit sendiri dan suami bekerja keras untuk memastikan impian saya ke sini tercapai. Namun, ia masih bukan rezeki saya,” katanya.

Pingat emas kategori 53kg dimenangi atlet India, Sanjita Chanu Khumukcham yang melakukan angkatan keseluruhan 192kg dan tempat kedua menjadi milik Loa Dika Toua dari Papua New Guinea (182kg).

Pingat gangsa dimena­ngi atlet Kanada, Rachel LeBlanc-Bazinet dengan beban angkatan seberat 181kg, manakala Najwa terpaksa berpuas hati pada tempat ketujuh selepas mengangkat keseluruhan 170kg.