Lebih menarik, pelumba berusia 30 tahun itu dilihat seolah-olah mengakui begitu mudah untuk mendominasi perlumbaan tersebut kerana mampu menawan Dataran Pahlawan Alor Setar dalam keadaan demam menerusi catatan masa 2 jam 47 minit 19 saat (s).

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dirangkul pelumba Terengganu Inc. TSG Cycling Team (TSG), Youcef Reguigui dan Mohd. Hariff Saleh dengan catatan masa serupa.

“Perlumbaan hari ini (semalam) sangat pantas dan kebanyakan pasukan tidak dapat melakukan kelompok pecahan yang banyak. Saya fikir kredit harus diberikan kepada rakan-rakan sepasukan yang menjaga kedudukan saya sepanjang perlumbaan ini.

“Apabila saya berada di posisi terbaik, saya terus memecut laju tanpa memikirkan pesaing di belakang. Kami tiba di Malaysia dengan penuh persediaan dan mahu pulang dengan perasaan bangga.

“Ada baki dua lagi perlumbaan, saya yakin boleh mencatatkan kejuaraan hatrik dengan bantuan rakan-rakan yang lain,” jelasnya.

Saingan peringkat keenam yang bermula dari Bagan Ajam, Pulau Pinang hingga Alor Setar sejauh 130.8 kilometer (km) itu menyaksikan tidak ada sebarang pertukaran jersi utama berlaku.

Benjamin Dyball daripada Team Sapura Cycling masih kekal selaku pendahulu keseluruhan (jersi kuning) diikuti pelumba Floyd’s Pro Cycling, Travis McCabe (jersi hijau) serta Angus Lyons dari Oliver’s Real Food Racing (jersi merah).