MUN YEE tekad memberikan persembahan terbaik biarpun berdepan
MUN YEE tekad memberikan persembahan terbaik biarpun berdepan saingan sengit penerjun muda bagi merebut tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Atlet berusia 34 tahun yang pernah mewakili negara menerusi acara 3 meter (m) papan anjal dan 10m papan anjal pada Sukan Olimpik edisi 2000, 2004, 2008 dan 2012 itu berharap dapat kembali buat kali kelima dua tahun lagi.

Biarpun mengakui tidak bercadang untuk membuat perubahan pada teknik dan rutinnya, Mun Yee mahu cuba lakukan yang terbaik untuk membuktikan bahawa dirinya masih mampu menyerlah pada temasya terbesar dunia itu.

“Setakat ini, saya rasa tidak ada perancangan untuk me­rubah teknik atau rutin pada terjunan. Tidak dinafikan bahawa memang sukar untuk mendapatkan kelayakan mewakili negara kerana saingan banyak.

“Saya terlepas peluang beraksi pada Olimpik 2016 lalu setelah tampil empat kali berturut-turut. Sudah tentu kali ini, saya akan lakukan yang terbaik untuk cuba dapatkan peluang mewakili negara,” katanya ketika dihubungi Kos­mo! semalam.

Sebagai rekod, atlet kelahiran Perak itu baru berusia 15 tahun ketika mencatat sejarah sebagai atlet terjun negara pertama yang layak untuk membuat penampilan pada Sukan Olimpik edisi Sydney 2000.

Bagaimanapun, Mun Yee terpaksa akur apabila tidak terpilih untuk mewakili negara pada 2016 setelah enam slot negara diisi oleh Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yan Yee.

Selain itu, Mun Yee mengesahkan bahawa kecederaan pada bahagian lehernya masih terkawal dan tidak mengalami sebarang kecede­raan baharu yang boleh menjejaskan peluangnya meraih slot Olimpik.

“Kecederaan leher yang sering saya alami tidak teruk, cuma perlu berhati-hati ketika melakukan latihan agar tidak memudaratkannya. Saya tidak ada kecederaan baharu setakat ini.

“Ketika ini saya tidak ada sebarang kejohanan sehingga tahun depan dan hanya lakukan latihan kecergasan. Saya akan manfaatkan masa ini untuk beri tumpuan pada pelajaran,” ujarnya yang juga pelajar Sarjana dalam bidang Komunikasi Korporat di Universiti Putra Malaysia itu.