Menurutnya, ia adalah satu permulaan yang baik untuk memulakan kempen MPFL 2019 meskipun ada dalam kalangan pemain Pulau Pinang mula menyertai pasukan di saat-saat akhir.

Abdul Gaffaar memberitahu, kebangkitan pasukan selepas dihukum dengan jaringan awal menjadi pemangkin utama Pulau Pinang ketika bertandang ke tempat lawan.

“Kami datang ke sini untuk mencari tiga mata namun tidak menjangkakan boleh mendapatkan jumlah jaringan besar sebegini dan sememangnya sangat menakjubkan.

“Pulau Pinang terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal, namun kami berjaya mendapatkan semula gol penyamaan dan perkara tersebut membuatkan pasukan kembali bangkit untuk memburu gol berikutnya.

“Saya akui bukan senang untuk melakukan kebangkitan kerana KL City merupakan satu pasukan yang mantap, tetapi saya lihat pemain saya mampu menyerap tekanan lawan dengan baik sehingga tamat perlawanan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Abdul Gaffaar berkata, semangat berpasukan sering ditekankan dan menjadi keutamaan  ketika bertemu KL City selepas Pulau Pinang memiliki tempoh terhad untuk membina pasukan.

“Jika lihat persiapan pasukan, sejujurnya selepas Aidilfitri baru Pulau Pinang menjalani latihan dengan serius sementara penjaga gol, Mohamad Idham Osman pula datang menyertai pasukan pada saat-saat akhir.

“Bagaimanapun, hari ini dia mampu menjadi penyelamat pasukan dan ia jelas menunjukkan semangat berpasukan yang ada dalam diri setiap pemain telah berhasil,” ujarnya.

Dalam aksi tersebut, Muhammad Nur Azfaar Nor Ali Yaacob dan Iqhmal Najmie Ismail berjaya menyumbat dua gol sementara Muhammad Syafiq Abdul Rasyid, Muhammad Haziq Mohd. Yusoff dan Muhammad Hanis Izzuddin Abdul Latif masing-masing menjaringkan satu gol untuk membantu kemenangan pasukan ketika beraksi di sini.

Sementara itu, KL City yang terlebih dahulu di depan dengan jaringan Muhammad Amirul Izwan Amrulnizam seterusnya disusuli dengan gol Jaya Prahkashrao, Muhammad Muzhaffar Mohd. Tahar (dua gol) dan Aqim Mohamad Salihuddin terpaksa menerima hakikat apabila mereka dikejutkan dengan kebangkitan Palau Pinang seterusnya gagal memungut sebarang mata bagi aksi pembukaan. - K! ONLINE