Skuad kendalian Taufik Yaiyah itu mengharungi permulaan sempurna dalam kempen liga musim ini dengan memenangi semua lima perlawanan setakat ini.

“Motivasi pemain begitu baik dan saya yakin dengan sistem permainan dan momentum sekarang, kami mampu meraih tiga mata tetapi Perak juga sedang menunjukkan kebangkitan dengan dua kemenangan pada aksi terakhir. 

“Ia pastinya bukan satu perlawanan mudah, malah saya percaya Perak tidak mahu kecewa di hadapan penyokong sendiri. Mereka juga ada kekuatan tersendiri, jadi kami perlu berwaspada dan jangan biarkan keyakinan berlebihan menguasai diri,” katanya.

Pahang Rangers ketika ini berada di tangga kedua liga dengan 15 mata, ketinggalan satu mata dengan pendahulu Selangor. 

Kemenangan malam esok akan menyaksikan Pahang Rangers merampas kedudukan pendahulu dan pastinya mengharapkan kuartet pemain kebangsaan diketuai Khairul Effendy Bahrin, Saiful Nizam Mohd. Ali, Azwann Ismail dan Abu Haniffa Hassan yang telah menyumbang 17 daripada 23 gol setakat ini.

Sementara itu, Saiful Nizam yang kini mendahului carta penjaring terbanyak dengan 12 gol nekad untuk terus meledak lebih banyak jaringan supaya ia dapat membantu kejayaan Pahang Rangers.

“Saya tidak mahu berhenti menjaringkan gol kerana ia memberi saya kepuasan dan keyakinan. Saya gembira dengan sentuhan setakat ini tetapi saya tidak boleh cepat berpuas hati. 

“Saya tidak memburu kejayaan peribadi kerana kemenangan buat pasukan tetap menjadi keutamaan. Saya perlu menjalankan tanggungjawab menjaringkan gol dan akan sentiasa bersedia memberikan yang terbaik,” jelasnya. -K! ONLINE