Bulan lalu, Mourinho telah dipecat daripada mengendalikan The Red Devils dan tugas tersebut kini diambil alih oleh Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus sementara.

Presiden Benfica, Luis Filipe Vieira telah mencadangkan nama Mourinho sebagai calon terbaik mengendalikan pasukannya selepas memecat Rui Vitoria sebagai pengurus pasukan baru-baru ini.

“Saya dengan Mourinho merupakan rakan baik dan siapa yang tidak suka jika dia bersetuju menyertai Benfica. Namun, buat masa sekarang kami belum duduk semeja untuk berbincang tentang perkara tersebut.

“Jika dia bersetuju esok, soal kewangan sememangnya tidak menjadi masalah kepada Benfica,” kata Vieira baru-baru ini.

Bagaimanapun, selepas diajukan soalan berkenaan hasrat Vieira itu kepada Mourinho, bekas pengendali Porto tersebut menafikan akan kembali ke Portugal dan masih berminat untuk bekerja di England.

“Saya tidak berminat dengan berita seperti ini, namun saya ingin jelaskan bahawa saya tidak berhasrat untuk kembali ke Liga Portugal buat masa ini.

“Cara terbaik untuk menghargai mereka (Benfica) termasuk presidennya adalah dengan mengatakan saya tidak berminat dengan tawaran tersebut,” kata Mourinho. – Agensi.