The Red Devils terpaksa bangkit daripada ketinggalan dua kali bagi memastikan mereka mencuri satu mata daripada The Gunners selepas jaringan Anthony Martial dan Jesse Lingard masing-masing pada minit ke-30 dan 69 sebelum berjaya membatalkan defisit gol daripada Shkodran Mustafi serta jaringan sendiri Marcos Rojo.

Mourinho sebelum ini mengkritik pemainnya yang suka beraksi dengan cara sukar ketika seri 2-2 dengan Southampton minggu lalu dan kini sekali lagi mempersoalkan komitmen beberapa pemain utamanya di atas padang.

Pengendali berusia 55 tahun tersebut berpendapat, usahanya melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama de­ngan menurunkan Diogo Dalot dan Marcos Rojo berjaya membuahkan hasil, namun masih tetap gagal memastikan pasukannya beraksi pada tahap kualiti yang sebenar.

“Memang benar ia adalah satu petanda yang positif, namun masih ada beberapa perkara yang saya masih belum faham daripada mereka.

“Tetapi saya tidak boleh terlalu mengkritik perkara ini kerana semua pemain telah memberikan segala yang termampu dalam perlawanan.

“Tiada apa lagi yang boleh saya katakan selain daripada saya gembira dengan usaha, komitmen dan keberanian pemain saya di atas padang. Itu sahaja,” jelas Mourinho.

Pada aksi semalam, United merehatkan Paul Pogba dan Romelu Lukaku di bangku simpanan, namun Mourinho menegaskan mereka sepatutnya mampu mengutip tiga mata dalam perlawanan ini.

“Ya, memang benar kami sepatutnya memenangi pertemuan ini. Kami melakukan dua kesilapan besar dan dihukum jari­ngan mereka.

“Kesilapan kami ialah membenarkan mereka melakukan sera­ngan balas dengan pantas, mudah hilang bola dan juga prestasi yang tidak konsisten di atas padang,” ujarnya lagi. – Agensi