Kedudukan Spalletti sebagai pengendali kelab Serie A tersebut dikatakan berada dalam keadaan samar apabila terdapat spekulasi yang mendakwa dia bakal digantikan dengan bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho.

Bagaimanapun, Ausilio memberi jaminan bahawa Spalletti tidak perlu bimbang mengenai statusnya di kelab itu memandangkan Inter sudah bersetuju dengan projek jangka panjang yang direncanakan oleh bekas jurulatih AS Roma berkenaan.

“Saya langsung tidak terkejut apabila banyak pihak yang mengaitkan Mourinho dengan pasukan ini kerana beliau adalah jurulatih berkaliber. Bagaimanapun, kami mahu teruskan projek jangka panjang bersama Spalletti.

“Pemilik kelab ini memiliki cita-cita yang sangat tinggi dan mereka mahu Inter kembali ke prestasi sebenar. Kami tidak boleh lagi menjadi sebuah kelab yang berpuas hati di kedudukan kedua, ketiga atau keempat,” kata Ausilio.

Khabar angin mengenai kemungkinan Mourin­ho mengambil alih pasukan itu timbul selepas Inter tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara dan terpaksa berentap dalam Liga Europa.

Mourinho pernah mengendalikan skuad Neraz­zurri itu pada 2008 hingga 2010 dan berjaya merangkul gelaran trebel dengan memenangi trofi Serie A, Liga Juara-Juara dan Coppa Italia bagi musim 2009/10. – Agensi