Mourinho yang meluahkan kekecewaannya di tepi padang ketika United menang tipis 1-0 ke atas Young Boys pada aksi Liga Juara-Juara pada Rabu lalu, kali ini mempersoalkan semangat juang dan kemahuan untuk menang yang sepatutnya diterjemahkan pemainnya di atas padang.

Skuad The Red Devils ketinggalan 0-2 kepada Southampoton dalam masa 20 minit menerusi jaringan Stuart Armstrong dan Cedric Soares sebelum bangkit menya­makan kedudukan menerusi Romelu Lukaku dan Ander Herrera sebelum babak pertama berakhir.

Mourinho terpaksa me­lakukan perubahan formasi kepada 3-5-2 apabila meletakkan Scott McTominay dan Nemanja Matic di barisan pertahanan dengan Paul Pogba serta Herrera di bahagian te­ngah bersama Marouane Fellaini.

Bekas pengendali Chelsea itu menganggap barisan tengahnya tidak memiliki persefahaman sehingga menyebabkan Southampton menguasai permainan dan mudah melakukan gerakan ke kubu United sehingga mendapat gol pertama.

“Kami hilang terlalu banyak bola di bahagian tengah dan ia menyebabkan pergerakan pasukan terganggu serta sukar untuk melancarkan serangan. Bagaimanapun, kami berjaya mengubah permainan pada penghujung separuh masa pertama.

“Kami beraksi dengan baik pada 15 hingga 20 minit terakhir babak pertama. Kami berjaya meng­hantar bola dengan baik kepada penyerang, hantaran yang tepat serta menguasai permainan. Namun, pada babak kedua kami kembali semula kepada ‘perangai’ lama,” katanya.

Pada masa sama, pengurus dari Portugal itu turut memuji usaha yang ditunjukkan Marcus Rashford pada perlawanan semalam apabila dua gol yang dihasilkan United adalah berpunca daripada gerakannya.

“Pemain-pemain tidak faham bahawa bermain dengan mudah adalah strategi yang paling bijak. Tetapi mereka tetap mahu bermain dengan cara yang sukar. Rashford dan Phil Jones adalah antara pemain yang beraksi dengan baik,” kata Mou­rinho. 
– Agensi