Moradi berjaya melakukan angkatan bebanan berjumlah 189 kilogram (kg) dalam disiplin snatch ka­tegori 94kg sekali gus memadam rekod dunia 188kg yang dilakukan oleh atlet Greece, Akakios Kakiasvilis pada tahun 1999.

Atlet berusia 29 tahun tersebut turut mencatatkan rekod baharu Sukan Asia dengan jumlah ke­seluruhan 410kg selepas me­lakukan angkatan bebanan 221kg bagi disiplin clean and jerk.

Sementara itu, atlet dari Qatar, Fares Elbakh merangkul pingat perak, manakala ‘badang’ dari Thailand, Sumpradit Sarat memperoleh pingat gangsa.

Moradi kini memiliki satu set lengkap rekod dunia apabila turut memegang rekod dalam disiplin clean and jerk iaitu 233kg yang dilakukannya pada Kejohanan Dunia tahun lalu, sekali gus mencatatkan jumlah keseluruhan angkatan bebanan 417kg bagi kategori heavyweight.

“Saya benar-benar berhajat untuk memecah rekod dunia kerana ia satu-satunya peluang terakhir saya dan ia belum lagi saya miliki.

“Saya sangat gembira apabila menyedari nama saya akan sentiasa kekal dalam rekod dunia angkat berat bagi kategori 94kg,” kata Moradi. – Agensi