Pada 1977, Mohamad, yang ketika itu mewakili Negeri Sembilan Malays (NS Malays) telah mengasari G. Torairaju, pemain kebangsaan ketika itu yang bermain untuk Negeri Sembilan Indian (NS Indian) di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), terlebih dahulu dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan.

“Kemudian saya membantah, saya sepak bola kepada pengadil dan terkena dia. Dia kemudian tunjuk kad merah dan saya rampas kad dari tangan pengadil dan baling lalu tersangkut di atas pokok masa itu di padang NS. Saya ingat lagi keputusan seri 1-1.

“Itu perlawanan saya yang terakhir secara rasmi, tetapi main-main biasa itu adalah. Ketika itu final NS Malays lawan NS Indian, masa itu liga tempatan cukup hebat. Torairaju masa itu main untuk Malaysia dan saya kata: I want to retire Torairaju from football,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, Seremban semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tular kisah hidupnya yang dilayangkan kad merah oleh pengadil di media sosial baru-baru ini.

Mohamad, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) berkata, sekitar tujuh atau lapan tahun lepas, terdapat usul daripada anggota majlis persatuan itu untuk menamatkan penggantungannya, namun ditolak.

“Saya masih digantung walaupun saya jadi Presiden PBNS. Ada usaha untuk menamatkan penggantungan tersebut, tapi saya tidak mahu sebab saya memang salah pun... saya layak dibuang padang dan digantung seumur hidup.

“Itu cerita lama. Masa itu liga tempatan cukup bagus, kemudian diambil alih oleh Liga Dunhill. Saya bermain di posisi pertahanan,” katanya.

Mohamad digantung seumur hidup oleh PBNS dan penggantungan itu hanya berkuat kuasa di liga di Negeri Sembilan sahaja, ketika itu. – Bernama