Sumber berkata, FAP masih menunggu maklum balas daripada Tahir bagi membincangkan hal tersebut memandangkan isu berkenaan sudah tular dalam laman sosial sejak kelmarin.

“Secara rasmi, FAP belum menerima surat yang mengatakan beliau (Tahir) meletakkan jawatan dan sehingga saat ini, isu berkenaan masih jadi spekulasi. FAP masih menunggu pengesah­an berhubung perkara terbabit.

“Namun difahamkan, beliau telah menyerahkan surat itu kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng Isnin lalu. Sepatutnya beliau kena serah kepada FAP terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sehingga malam tadi, pengurusan FAP juga masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai isu tersebut memandang presidennya itu dikatakan masih belum mengadakan pertemuan dengan mereka.

Katanya, Tahir juga cuba mengelak daripada dihubungi pihaknya bagi mendapatkan penjelasan mengenai kesahihan tindakannya itu.

“Selasa depan, akan diadakan mesyuarat Majlis FAP. Oleh itu, kemungkinan persoalan mengenai isu peletakan jawatan beliau dapat diketahui pada hari tersebut,” tambahnya.

Kosmo! difahamkan, Tahir yang merupakan anak jati Pulau Pinang pernah menjanjikan untuk menaikkan nama pasukan Pulau Pinang di peringkat lebih tinggi selain komited membantu menyelesaikan pelbagai kemelut termasuk tunggakan gaji pemain dan barisan kepimpinannya.

Pada 16 Januari lalu, beliau yang merupakan bekas Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 2013 dilantik sebagai Presiden FAP dalam mesyuarat agung tahun­an FAP selepas beliau menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut.