Justeru, pengendali kelahiran Melaka itu menyedari kekalahan kepada Jordan akan menutup peluang buat skuad kendaliannya bagi meneruskan kemaraan di pentas Kejuaraan AFC B-23.

Bagaimanapun, Kim Swee kekal optimis bahawa pasukan muda negara juga memiliki peluang dan beliau menuntut anak-anak buahnya bangkit daripada kekalahan kepada Iraq dengan melakarkan kejutan ke atas Jordan nanti.

“Malaysia mempunyai peluang yang sama dan kita tidak boleh tewas. Pada masa sama, kita harus tahu mereka merupakan pasukan pilihan yang mana Iraq, Arab Saudi dan Jordan memiliki kekuatan seimbang.

“Kita harus meningkatkan fokus dan pelajari (kesilapan) daripada apa kita lalui de­ngan pasukan Iraq,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Merrylands Tra­ders, Changshu semalam.

Rabu lalu, skuad kendalian Kim Swee tewas 1-4 kepada Iraq dalam aksi pem­bukaan Kumpulan C apabila juara edisi pertama AFC B-23 itu memperoleh dua gol mudah hasil kesilapan han­taran lemah dari Muhammad Syazwan Andik Mohd. Ishak dan Nor Azam Azih berjaya dimanfaatkan pasukan lawan yang mudah menjaringkan dua gol pada minit ke-28 dan m-81.

Empat gol Iraq dijaringkan oleh Mohammed Khalid Jaffal Al-Jumaili (m-5) Amjed Attwan Kadhim (m-28) Alaa Ali Mhawi (m-57) dan Hussein Al-Saedi (m-81), manakala jaringan tunggal negara hadir menerusi Safawi Rasid pada minit ke-79.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee turut mengesahkan penyerang berbisa negara, N. Thanabalan tidak dapat diturunkan bertemu Jordan, manakala status Adam Nor Azlin bergantung kepada proses pemulihannya.

“Thanabalan masih di­timpa kecederaan, manakala Adam bertambah baik dan kita harus lihat perkemba­ngan Thanabalan esok (hari ini). (Status Adam boleh diturunkan) terpulang kepada sesi latihan hari ini (semalam) kita lihat bagaimana prestasinya nanti,” ujarnya.