HARITH melaungkan amaran bahawa dia dan rakan-rakan sepasukan sedia memburu pingat emas acara futsal pada Sukma 2018 di Ipoh, Perak.

Ketua pasukan, Ahmad Harith Naim Mohd. Nasir memberitahu, skuad futsal Tok Gajah mempunyai sema­ngat tinggi untuk mengharungi temasya edisi ke-19 itu sekali gus memperbaiki pencapaian meraih pingat gangsa lima tahun lalu.

Pada Sukma 2013 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Pahang tewas 4-6 kepada Pulau Pinang pada separuh akhir dan kemudiannya akur dengan gangsa setelah menewaskan Johor 10-5 pada aksi penentuan tempat ketiga.

“Ketika itu kita mempunyai sebuah pasukan mantap, abang saya (Mohd. Hanafi) juga salah seorang pemain dalam skuad tersebut tetapi bukan rezeki kami walaupun sudah begitu hampir.

“Saya mahu tebus kegagalan abang saya dan percaya rakan-rakan sepasu­kan juga tekad untuk melakukannya,” kata Harith yang juga pemain kebangsaan ketika ditemui Kos­mo! semalam.

Walaupun baru berusia 18 tahun, Harith merupakan salah seorang tonggak utama pasukan Kuantan Rangers FC pada saingan Liga Futsal Kebangsaan (LFK).

Dia merupakan penjaring ke­dua terbanyak pasukannya pada saingan LFK dengan tujuh gol.

Selain Harith, Pahang turut diperkuatkan dengan enam pemain daripada Akademi Kuantan Rangers iaitu Afiq Safwan Che Hassan, Zainul Zahin Si­nuan, Mahadir Harahap Khairudin, Imran Syamim Saifullah, Izudin Abdul Rahman dan Ahmad Haziq Irsyad Abu Bakar.

Pahang bimbingan Yazeed Hamzah akan turun menentang juara bertahan Pulau Pinang pada aksi pembukaan Kumpulan D sebelum bertemu Terengganu.

Sebagai rekod, edisi ini adalah kali ketiga futsal dipertandingkan di pentas SUKMA dengan Johor merupakan juara sulung pada 2011 setelah menewaskan Negeri Sembilan pada aksi final, manakala edisi 2014 di Perlis dan Sarawak 2016, sukan itu tidak dipertandingkan.

Sebanyak 13 pasukan kecuali Kelantan akan mengambil bahagian pada edisi kali ini yang berlangsung di Arena Sukan Tertutup Manjung.