Safiyah, 28, berada pada pres­tasi terbaik selepas berjaya menjuarai dua kejohanan tahun ini bermula Kejohanan Tenpin Boling Antarabangsa Thailand di Bangkok (April) dan Kejua­raan Terbuka Malaysia di Sunway Pyramid, Bandar Sunway baru-baru ini.

Ia adalah kejayaan kedua buat Safiyah sejak mencipta kejutan muncul pemain termuda dalam sejarah menjuarai Terbuka Malaysia 2005 ketika berusia 14 tahun.

“Ini bukan kali pertama sebenarnya tetapi saya akui ada juga sedikit rasa gementar untuk kejohanan di Las Vegas nanti. Saya percaya boleh beri prestasi paling baik kerana saya ada rakan-rakan sepasukan yang sentiasa memberi sokongan.

“Saya tidak mahu fikir sangat, sebaliknya cuba bermain permainan saya seperti biasa. Memandangkan saya tengah bermain bagus sekarang, jadi saya tidak mahu tambah lebih ba­nyak tekanan ke atas diri sendiri.

“Sasaran sudah tentu mempertahankan pingat emas yang kami menang pada 2017. Kalau boleh saya mahu menang pingat dalam acara lain seperti perseorangan, double, trio, Masters dan All Event,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pemain dari Subang Jaya, Selangor itu akan bersama Nerosha Keligit,­ Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Natasha Roslan dan Esther Cheah menggalas cabaran negara pada kejuaraan dunia di Las Vegas hujung bulan ini.

Selain kejuaraan dunia, Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina pada hujung November depan juga merupakan satu lagi sasaran utama Safiyah tahun ini.