Ketua jurulatih kebangsaan, Zhang Yukun menjelaskan, kelebihan negara tembok besar China tersebut adalah bilangan atletnya yang berbakat begitu besar berbanding skuad kebangsaan yang sering dikitar semula pada setiap kejohanan.

Yukun mengakui dirinya akan menjadi tidak realistik jika menjamin pingat emas buat negara biarpun tidak menolak sebarang kejutan luar biasa seperti yang dilakukan Cheong Jun Hoong pada Kejohanan Dunia tahun lalu berlaku.

Bagaimanapun, jurulatih yang baharu memegang tampuk kepimpinan kejurulatihan awal tahun lalu itu mahu para atletnya memberikan sepenuh tumpuan pada teknik yang telah dipelajari tanpa sebarang tekanan mengenai pingat.

“Sasaran emas merupakan suatu perkara biasa yang buat skuad terjun wanita negara, namun saya mahu realistik. Saya boleh kata yang mereka harus dapatkan sekurang-kurangnya pingat perak tapi sukar untuk pingat emas.

“Kelebihan China adalah bilangan atlet berbakat terlalu ramai dan tidak pernah ketandusan, manakala kita hanya ada Pandelela Rinong dan Jun Hoong yang konsisten menyumbangkan pingat.

“Dua permata ini yang kita perlu jaga baik-baik agar mereka bebas daripada kecederaan dan mampu lakukan terjunan tanpa sebarang kesilapan. Kalau China, mereka ada ramai dan sesiapa sahaja boleh mewakili mereka,” jelasnya.

Mengulas mengenai atlet lelaki, Yukun mengesahkan bahawa kesemua mereka kecuali Chew Yi Wei telah kembali di bawah bimbingannya dan mereka berusaha memantapkan terjunan masing-masing sebelum ke Sukan Asia.

“Saya kini ada tujuh atlet di bawah bimbingan saya untuk dibentuk sebelum ke Sukan Asia,” jelasnya.