Atas kertas, pasukan negara yang telah menewaskan skuad dengan nama jolokan Angkor Warriors 3-1 dalam aksi persahabatan September lalu turun sebagai pasukan pilihan dalam misi memburu tiga mata pertama.

Bagaimanapun, ke­tua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe (gambar kecil) tidak mahu anak-anak buahnya tertekan dengan ramalan awal tersebut, sebaliknya memberikan amaran bahawa tugas sukar menanti mereka di Stadium Nasional, Phnom Penh nanti.

Tanpa berselindung, Cheng Hoe mengingatkan barisan pemain agar tidak memandang rendah terhadap keupayaan Kemboja yang bakal mendapat sokongan daripada peminat-peminat ketika bermain di laman sendiri.

Katanya, Kemboja memiliki pemain-pemain yang mengetahui mengenai bola sepak negara selepas bermain bersama kelab-kelab di Liga Malaysia (Liga M) tidak akan memberikan laluan mudah kepada juara edisi 2010 itu.

“Saya sangat berharap pemain-pemain dapat menyerap tekanan de­ngan baik dan melakar satu keputusan positif.

“Saya juga mahu ingatkan bahawa kemena­ngan kita ke atas mereka bukan pengukur sebenar kekuatan Kemboja kerana saya percaya aksi pertandingan sangat berbeza berbanding perlawanan persahabatan.

“Namun saya percaya pemain-pemain sudah bersedia dan perkara paling penting adalah mereka tidak boleh terlalu tertekan dengan jangkaan tinggi daripada peminat-peminat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Phnom Penh, semalam.

Cheng Hoe turut mengharap­kan pasukan bimbingannya bersedia dengan lebih positif selain berasa lega tiada masalah kece­deraan berlaku dalam kem pasukan negara.

“Semangat pemain berkobar-kobar. Tiada masalah kecede­raan untuk perlawanan malam esok (hari ini).

“Saya juga lebih berminat untuk fokus satu demi satu perlawanan sebelum memikirkan sasaran pentas final. Biarlah kita berikan perhatian dahulu kepada perlawanan Kemboja sebelum bercakap mengenai perkara ini,” katanya.

Selepas aksi bertemu Kemboja, pasukan bimbingan Cheng Hoe bakal menanti kunjungan Laos (12 November) sebelum terbang ke Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan A pada 16 November depan.

Skuad negara bakal menamatkan perlawanan peringkat kumpulan bertemu Myanmar di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 November ini.