Aksi mantap yang di­persembahkan pada Kejohanan Dunia di Nan­jing, China baru-baru ini nyata membawa tuah buat Daren apabila dibawa masuk ke dalam skuad Sukan Asia, sekali gus menyaksikan Cheam June Wei digugurkan.

Misbun yang mengakui lebih memilih untuk menghantar pemain muda ke temasya empat tahun sekali itu menghormati keputusan badan induk selain percaya pihak pengurusan ada alasan tersendiri.

“Saya perlu akur dengan pe­rancangan yang sudah diatur oleh persatuan, mungkin mereka melihat dari perspektif berbeza. Selain itu, mereka juga mungkin melihat kemasukan Daren boleh membantu kita dapatkan pingat.

“Saya terima keputusan ini kerana ia percaturan besar. Bagi saya, jika hanya mahu memenuhi kuota dan sekadar jemputan, saya lebih memi­lih untuk hantar pemain muda ke sana,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Sebagai rekod, Daren melakar kejutan pada Kejohanan Dunia lalu apabila berjaya melangkah ke separuh akhir sebelum tewas kepada bintang Jepun, Kento Momota.

Bagaimanapun, Misbun meng­anggap masa sudah semakin suntuk buat Daren melakukan persiapan ke Sukan Asia, lebih-lebih lagi dengan kecederaan buku lali yang dialaminya pada kejohanan terdahulu.

“Saya tidak beri jaminan sama ada dia mampu tampilkan aksi terbaik pada Sukan Asia kerana masa sudah suntuk untuk lakukan persiapan. Jika ini adalah keputusan pihak pengurusan, mungkin disebabkan mereka dapat lihat prospek yang ada pada Daren.

“Berdasarkan rekod sebelum ini, Daren merupakan seorang pemain yang sukar untuk menyesuaikan diri dengan tekanan tetapi mungkin keadaan sudah berbeza. Saya pun tidak tahu ke­rana sudah lama tidak melatih­nya,” tambah beliau.

Pada masa sama, Misbun yang juga legenda badminton tanah air berkata, kemasukan Daren mampu membuka ruang buat pasukan negara untuk membawa pulang kilauan pingat menerusi acara berpasukan, namun peluang mendapatkan pingat dalam acara individu agak samar.

“Berdasarkan prestasinya pada Kejohanan Dunia, dia mungkin diberi tanggungjawab selaku perseorangan utama bagi acara berpasukan dan berpeluang meraih pingat.

“Bagaimanapun, agak sukar untuk dapatkan pingat menerusi acara individu jika melihat pada cabaran pasukan lain,” ujarnya.

Daren akan memulakan latihan bersama skuad kebangsaan ming­gu depan dan pemain yang berada di ranking ke-39 dunia itu bakal menggalas tanggungjawab dalam acara berpasukan serta individu.