Pemain berusia 32 tahun itu merupakan pemain paling berpengalaman dalam skuad Super Eagles apabila sudah beraksi dalam tiga edisi terdahulu iaitu pada tahun 2006, 2008 serta 2013.

Bekas pemain Chelsea itu mengaku dia tidak tahu sama ada akan terus menyarung jersi Nigeria pada edisi seterusnya di Cameroon pada tahun 2021 kerana menganggap sudah tiba masa untuk dia mengundurkan diri daripada pentas antarabangsa.

“Saya tidak tahu (masa depan) tetapi saya fikir kejohanan ini mungkin merupakan AFCON terakhir saya. Bagaimanapun, kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku nanti kerana saya juga perlu menilai keadaan fizikal selepas ini.

“Sekarang ramai pemain muda mula menempa nama dan edisi seterusnya nanti, saya sudah berusia 34 tahun. Saya sudah berikan segala-galanya buat negara. Jadi, mungkin sudah tiba masanya untuk saya ucapkan selamat tinggal,” kata Mikel.

Mikel yang merupakan sebahagian daripada skuad yang memenangi trofi AFCON enam tahun lalu menegaskan, dia sentiasa dahagakan kejuaraan.

Justeru, dia menggesa rakan-rakan sepasukan agar turut memberikan aksi terbaik pada saingan kali ini.

“Saya sentiasa dahagakan kemenangan dan kehadiran kami ke sini bukan sekadar meme­nuhi kuota. Saya sudah terlibat dalam banyak perlawanan. Jadi, saya mahu semua pemain terapkan mentaliti untuk menjuarai kejohanan ini,” ujarnya. – Agensi