Beliau berkata, denda RM500,000 dikenakan terhadap enam pasukan Liga Premier, termasuk MIFA kerana kelewatan dalam pendaftaran pemain, tidak masuk akal sedangkan FMLLP sendiri masih belum menunaikan janji membayar peruntukan RM1 juta kepada pasukan yang bertanding dalam liga Divisyen Dua itu.

Mohan turut mahukan FMLLP bertindak adil dengan menjelaskan peraturan-peraturan berkaitan sebelum mengenakan denda sebanyak itu, terutamanya terhadap pasukan seperti MIFA yang hanya mempunyai peruntukan dana kecil.

"Saya rasa denda itu agak keterlaluan untuk pasukan seperti MIFA yang baru sedang mempelajari selok-belok Liga Premier. Lainlah jika kami menerima peruntukan RM5 atau RM10 juta daripada FMLLP. Peruntukan RM1 juta yang dijanjikan sebelum ini pun, masih belum dibayar.

"Kami sudah melengkapkan pendaftaran tetapi hanya lewat hantar dokumen. Kami akan kemukakan rayuan kepada FMLLP. Jika mereka (FMLLP) asyik hendak mendenda sahaja, saya rasa tidak guna kita bentuk pasukan kerana kebanyakan pasukan masih mengalami masalah kewangan. - Bernama