Ketua jurulatihnya, K. Devan berkata, pasukan itu kini dalam persiapan bertemu skuad Sang Badak yang sudah pasti memberikan cabaran sengit, terutamanya apabila kedua-dua pasukan mahu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga musim ini.

"Saya ada melihat perlawanan (Piala FA) Sabah di mana mereka hampir mengejutkan Johor Darul Takzim (JDT) pada Sabtu lalu, mereka bermain dengan sangat baik. Jika mereka (Sabah) mempamerkan aksi yang serupa, sudah pasti MIFA akan menghadapi cabaran besar, terutamanya dengan pengalaman dan kualiti yang ada pada pemain Sabah.

"Tetapi kami mempunyai kelebihan beraksi di halaman sendiri dan membuat persiapan rapi dalam semua aspek. Kami mahu bangkit daripada kekecewaan Piala FA dengan meningkatkan prestasi sekali gus menewaskan Sabah," katanya.

MIFA tersingkir daripada Piala FA apabila kalah 2-4 kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan pada aksi pusingan kedua Ahad lepas. - Bernama