Berdasarkan peraturan yang digariskan untuk Liga Malasyia (Liga M), setiap pasukan diwajibkan mendaftar 20 pemain termasuk tiga penjaga gol terlebih dahulu sebelum senarai penuh 30 pemain pada 20 Februari depan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd. Shazli Shaik Mohd., beliau percaya kesemua pasukan tidak mempunyai masalah untuk membuat pendaftaran ekoran telah diberikan masa yang cukup sebaik pendaftaran dibuka pada 29 November tahun lalu.

“Semua pasukan telah dimaklumkan mengenai pendaftaran awal 20 pemain pada 10 Januari ini. Pemain yang didaftarkan ini penting untuk pasukan beraksi untuk perlawanan pertama yang akan bermula 1 Februari depan.

“Selain 20 pemain, mereka juga diwajibkan mendaftar tujuh pegawai pasukan dan saya percaya berdasarkan perjumpaan pihak MFL dengan pasukan yang bertanding sebelum ini, mereka nampak sudah bersedia untuk mendaftarkan pemain.

“Cuma sebelum ini ada pasukan yang berdepan masalah untuk mendaftarkan pemain import kerana memerlukan dokumen tertentu termasuk Sijil Perpindahan Antarabangsa,” katanya.

Shazli berkata, kebanyakan pasukan sudah biasa dengan prosedur pendaftaran pemain, malah MFL memudahkan lagi urusan pendaftaran itu dengan menggunakan sistem FAM MyPAS bagi menggantikan Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak sejak 2017.

“Kebanyakan pasukan sudah biasa beraksi dalam liga kita dan mereka sudah tahu mengenai prosedur pendaftaran ini. Kita juga tidak melakukan sebarang perubahan melainkan memudahkan lagi proses ini dengan menggunakan sistem FAM MyPAS,” katanya. - K! ONLINE