Chong Wei dan Mew Choo berkahwin pada 9 November 2012 dan dikurniakan dua anak lelaki iaitu Kingston dan Terrance.

Mew Choo yang juga bekas pemain badminton negara berkata, mereka berdua akan menyokong apa sahaja minat kedua-dua anaknya walaupun kedua-duanya lebih cenderung kepada sukan lain.

“Jika mereka minat untuk bermain badminton, kami akan melatih mereka.

“Namun, kami tidak ada rancangan untuk menjadikan kedua-dua anak kami sebagai pemain badminton. Tidak ada gunanya memaksa jika mereka tidak berminat untuk bermain badminton.

“Anak saya agak aktif kerana meminati banyak sukan seperti badminton, bola sepak. Tetapi saya akan menghormati setiap keputusan yang diputuskan oleh mereka,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya semalam.

Dalam pada itu, Mew Choo mengakui gembira dengan keputusan persaraan Chong Wei sekali gus memberi le­bih masa kepada mereka untuk bersama keluarga.

“Keputusan ini sangat sukar untuk saya dan Chong Wei. Namun, saya fikir ini ialah masa yang tepat untuk dia berehat. Secara jujur, saya sangat gembira kerana dia sudah ada banyak masa bersama keluarga. Ini ke­rana kita hanya berpeluang sekali untuk melihat anak-anak membesar di depan mata.

“Setelah dia membuat keputusan untuk kembali menjalani latihan selepas sembuh daripada penya­kitnya, saya fikir bukan saya seorang yang bimbang tetapi semua orang juga bimbang.

“Sebenarnya saya telah banyak berbincang dengan Chong Wei dan segala keputusan yang dibuat termasuk kembali ke gelanggang sebelum ini saya terima. Saya juga bekas atlet dan tahu bukan sukar untuk meninggalkan perkara yang sudah sebati dalam diri sendiri,” jelasnya.