Laporan baru-baru ini mendedahkan Messi yang mempunyai klausa pelepasan bernilai €700 juta (RM3.257 bilion) mempunyai kuasa untuk keluar meninggalkan Barcelona pada mana-mana penghujung musim, namun ia tidak disahkan oleh kelab sehingga sekarang.

Bercakap kepada Barca TV minggu ini, Bartomeu mendedahkan bahawa sememangnya Barcelona menawarkan klausa kontrak seumpama itu kepada semua pemain legenda mereka, bukan hanya kepada Messi.

“Leo Messi mempunyai kontrak sehingga musim 2020/2021, namun pemain tersebut boleh meninggalkan Barca sebelum musim terakhirnya.

“Ia sama dengan apa yang berlaku kepada kontrak akhir Xavi, (Carles) Puyol dan (Andres) Iniesta. Para pemain tersebut berhak memperoleh kebebasan dan kami tidak perlu bimbang memandangkan mereka komited dengan Barcelona.

“Kami mahu Messi beraksi dengan Barcelona sehingga tahun 2021 bahkan lebih panjang lagi. Kami kekal tenang mengenainya,” kata Bartomeu.

Sejak melakukan penampilan pertama pada tahun 2004, Messi telah beraksi 687 perlawanan bersama Barcelona. Sejak itu, bintang berkenaan telah menja­ringkan 603 gol dan 242 bantuan gol, sekali gus menempatkan dirinya sebagai salah seorang pemain sepanjang zaman di Barcelona.

Bagaimanapun, pada usia 32 tahun, keupayaan Messi untuk beraksi secara kompetitif diragui dan Barcelona mula memba­yangkan kehidupan kelab tersebut tanpa bintang berkenaan pada masa depan. – Agensi