Mereka bakal berdepan Arsenal di Stadium Etihad awal pagi Isnin ini.

Pada minggu lalu, City tewas mengejut 1-2 kepada Newcastle United sehingga mengakibatkan peluang untuk memintas Liverpool kian menemui jalan penamat.

Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu masih percaya skuadnya masih boleh mencabar Liverpool dengan syarat perlu me-raih kemenangan pada kesemua baki perlawanan musim ini.

“Sudah tentu kami tidak gembira dengan persembahan terakhir ketika berdepan Newcastle. Ramai orang percaya City adalah pasukan sempurna serta tidak boleh ditewaskan tetapi saya menafikan perkara tersebut.

“Kami tidak sempurna dan ia dibuktikan menerusi kekalahan kepada Newcastle. Saya sering tekankan kepada pemain supaya tunjukkan peningkatan pada setiap perlawanan. Ini kerana setiap pasukan mempunyai cabaran tersendiri,” ujarnya.

City masih kekal di kedudukan kedua liga menerusi 56 mata.

Mengulas mengenai cabaran yang diterima daripada skuad bimbingan Unai Emery, Guardiola percaya mereka boleh dikejutkan dengan aksi cemerlang Arsenal di laman sendiri.

“Setakat ini, Emery telah menjalankan tugas dengan baik bersama Arsenal. Mereka mempunyai pemain yang sangat berkualiti dan boleh mengubah perlawanan pada bila-bila masa,” jelasnya. – Agensi