Beliau berkata, saingan liga baru sahaja bermula selain pasukan yang ditentang Perak seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah sebelum ini merupakan antara pasukan pilihan dalam memburu kejuaraan.

"Masa masih panjang dan banyak lagi perlawanan yang perlu kita harungi untuk kempen liga musim ini, jadi saya rasa tidak ada perkara perlu dibimbangkan.

"Kalau lihat aksi sebelum ini, kita kalah kepada Johor Darul Ta'zim yang diketahui dibarisi pemain tempatan dan import berkualiti. Begitu juga Kedah, yang dianggap antara pasukan pilihan memburu kejuaraan," katanya pada sidang media di Stadium Perak di sini malam tadi.

Dalam aksi dihadapan lebih 20,000 penonton, skuad The Bos Gaurus berjaya mencetak jaringan pada minit ke-18, hasil rembatan Brendan Gan daripada luar kotak penalti yang berjaya memerangkap penjaga gawang Kedah, Mohd. Ifwat Akmal Che Kassim.

Namun kegembiraan tersebut tidak kekal lama apabila pertahanan import Kedah, Renan Da Silva berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-20 hasil rembatan daripada situasi kelam kabut dihadapan gawang gol Perak.

Mengulas mengenai persembahan keseluruhan anak buahnya, Mehmed berkata, Perak berhak memenangi perlawanan berkenaan, namun kegagalan barisan serangan menyempurnakan beberapa peluang terhidang menidakkan hasrat tersebut.

"Apa pun saya berbangga dengan aksi dan komitmen yang ditampilkan oleh setiap pemain dalam perlawanan ini," katanya. - Bernama