Pasukan tersebut tidak memperoleh sebarang kemenangan sejak 2012, namun berharap akan muncul sebagai pasukan berdaya saing selepas menamatkan kerjasama dengan pengeluar enjin Honda yang disifatkan kurang berkuasa sekali gus beralih kepada enjin Renault.

Pengarah Eksekutif McLaren, Zak Brown menegaskan, mereka akan menjadi pasukan yang mempamerkan perbezaan paling ketara pada saingan di litar pada musim ini berbanding tahun lalu.

“Semua pihak termasuk kami sendiri tidak sabar untuk melihat perubahan pada pasukan McLaren. Pasukan ini menyasarkan untuk lebih kompetitif pada tahun ini dengan berada di depan saingan, sesi kelayakan dan akhirnya menaiki podium,” kata Brown.

Selepas tiga tahun bersama Honda sebagai rakan kerjasama, McLaren terpaksa bergelut dengan prestasi ekoran enjin kurang berdaya saing menyebabkan pasukan itu menamatkan kerjasama dengan syarikat dari Jepun dan memilih untuk bekerjasama dengan Renault.

Brown juga menegaskan, McLaren tidak gentar jika mahu dibandingkan dengan pasukan Red Bull yang memenangi podium sebanyak tiga kali tahun lalu selain pengeluar enjin dari Perancis itu berjaya meningkatkan kemajuan buat pasukan pengeluar Renault.

“Jika kami berada di belakang Red Bull 0.9 saat, ia tidak bagus untuk kami dan saya mengakuinya. Kami enggan menyembunyikan kelemahan tapi masa membuktikan sesuatu.

“Bagaimanapun, keindahan sukan lumba permotoran ini adalah berjuta-juta orang di seluruh dunia melihat apa yang sedang anda lakukan. Ia sebahagian daripada cara cetuskan adrenalin,” ujar Brown. – Agensi