Walaupun tewas namun pemain-pemain negara tidak perlu rasa terlalu kecewa memandangkan Malaysia hanya menurunkan pemain-pemain muda serta dianggap sebagai bukan pasukan pilihan tidak seperti China, Jepun mahupun Indonesia.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang hadir menyaksikan perlawanan itu mengakui sangat berpuas hati dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan barisan pemain muda negara sepanjang kejohanan tersebut.

“Walaupun kita tewas pada peringkat suku akhir kepada Jepun tetapi saya akui tetap berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi pemain kita sepanjang berada di sini. Kita semua perlu tahu, ini adalah pasukan muda dan tidak diperkuatkan oleh mana-mana pemain Olimpik kita.

“Selain itu, kita perlu bangga kerana Malaysia merupakan satu-satunya pasukan yang tidak berada dalam kelompok lapan pasukan pilihan mara ke peringkat suku akhir. Saya gembira dengan pencapaian pada edisi kali ini,” kata Norza kepada Kosmo! semalam.

Menerusi keputusan itu, Malaysia mengulangi pencapaian yang dilakukan pada edisi dua tahun lalu di Gold Coast, Australia apabila tersingkir pada peringkat suku akhir selepas tewas di tangan lawan yang sama, Jepun dengan keputusan 1-3.

Selepas menyaksikan potensi yang dimiliki pemain-pemain muda negara seperti perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Norza berharap semua pihak terus memberikan sokongan serta masa kepada pemain-pemain tersebut untuk menyinar.

“Kita dapat lihat prestasi yang agak baik daripada semua pemain pada saingan kali ini dan mereka ada potensi yang cukup besar. Bagi mencapai potensi yang ada dalam diri setiap pemain, kita semua perlu berikan masa serta sokongan kepada mereka,” tambahnya.

Pada aksi suku akhir semalam, Jepun memperoleh mata pertama menerusi bere­gu lelaki, Keigo Sonoda-Takeshi Kamura selepas gandingan No.2 dunia itu menewaskan Ee Yi-Ong Yew Sin 13-21, 26-24, 23-21, sebelum Nozomi Okuhara menggandakan kedudukan apabila menang 21-16, 21-13 ke atas Soniia Cheah dalam acara perseorangan wanita.

Perseorangan lelaki No.1 dunia, Kento Momota memastikan Jepun menempah slot separuh akhir apabila berjaya membenam cabaran Zii Jia 21-18, 21-16 pada aksi penentuan.

Dalam pada itu, Norza juga mengesahkan pemain beregu lelaki, Teo Ee Yi yang mengalami kecederaan dagu ketika beraksi pada perlawanan pertama dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut sebaik tamat aksi tersebut.