MASCA dilihat serius untuk membangunkan acara berkenaan apabila menganjurkan sesi pemilihan atlet negara dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Menurut Penyelaras Kanu Slalom MASCA, Dr Jaffry Zakaria berkata, usaha tersebut giat dijalankan bagi memastikan setiap disiplin sukan kanu mendapat layanan sama rata.

"Inisiatif ini diambil demi memperkasakan pembangunan kanu slalom di Malaysia dengan harapan ia dapat berkembang ke seluruh negeri di Malaysia.

"Daripada sesi pemilihan tersebut, sekarang kami sudah dapat mengenal pasti 25 atlet campuran senior dan muda yang akan diserapkan sebagai pelatih kebangsaan," katanya.

Acara slalom merupakan salah satu daripada empat disiplin utama sukan kanu iaitu lumba bot tradisional (TBR), kanu pecut dan kanu polo.

Hanya dua disiplin iaitu TBR dan kanu pecut yang dipertandingkan pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina hujung tahun ini.

Begitupun, Jaffry berkata, ia tidak bermakna pembangunan disiplin itu akan diketepikan kerana mereka sekarang dalam persediaan untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Sepanyol bulan depan.

"25 pelatih terpilih perlu menjalani latihan secara berfasa kerana atlet terbaik sahaja akan dibawa ke kejohanan utama nanti," jelasnya. - K! ONLINE