Vingada

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya hanya mampu meraih satu mata daripada lima perlawanan, sekali gus menduduki tangga tercorot Kumpulan B selain tewas dua aksi terakhir ketika bertemu dengan Korea Utara di sini dengan kedua-dua perlawanan tamat dengan keputusan 1-4.

Namun, pengendali kelahiran Portugal itu optimis anak-anak buahnya memiliki potensi untuk beraksi dengan lebih cemerlang tahun depan walaupun menamatkan saingan di pentas antarabangsa tahun ini tanpa kemenangan.

“Pasukan kami berusaha untuk bangkit selepas tewas 1-4 pada aksi pertama bertemu dengan Korea Utara minggu lalu. Bagaimanapun, keputusan yang sama diperoleh dalam perlawanan kedua dan saya akui kami tewas kepada pasukan yang jauh lebih baik.

“Cuma, saya rasa masih ada perkara positif yang kami boleh ambil pada kedua-dua perlawanan ini seperti penyertaan enam pemain skuad bawah 22 tahun (B-22) yang diserap dalam pasukan senior.

“Empat daripada mereka telah me­raih cap pertama di pentas antarabangsa pada aksi kedua ini. Saya anggap apa yang mereka tampilkan sangat bagus.

“Apa yang pasti, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki tetapi tidak menafikan bahawa potensi pasukan ini pada tahun depan sangat tinggi,” katanya pada sidang akhbar di sini kelmarin.

Pada perlawanan kedua itu, pe­nyerang muda Korea Utara, Kim Yu Song meledak hatrik, manakala Pak Kwang Ryong menjaringkan satu gol untuk memberi kelebihan 4-0 kepada pasukan negara republik itu. Gol sagu hati skuad negara sekali lagi dijaringkan oleh Safawi Rasid pada penghujung perlawanan.

Mengulas lanjut, Vingada mengakui dua kekalahan tersebut mungkin akan menjejaskan kedudukan skuad Harimau Malaya yang kini menduduki tangga ke-170 dunia menjelang ran­king baharu yang bakal dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) minggu depan.

“Secara peribadi, saya akui tidak terlalu memikirkan soal ranking skuad negara kerana apa yang penting adalah kami mencatat kemenangan terlebih dahulu. Ini kerana sistem ranking yang ditetapkan FIFA tidak memberi sebarang makna.

“Saya tidak menafikan skuad negara berpeluang untuk berada di ranking lebih baik sekiranya kami bertemu dengan pasukan yang tidak kuat seperti Brunei atau Myanmar. Namun, saya kurang yakin ia akan membantu meningkatkan mutu bola sepak negara,” katanya.

Skuad negara masih belum menang dalam tujuh perlawanan antarabangsa sejak dikendalikan oleh Vingada pada Mei lepas.