Pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Austria yang berlangsung di Red Bull Ring kelmarin, Lorenzo membuktikan kemampuannya apabila mengetepikan cabaran Marquez bagi memenangi perlumbaan tersebut.

Justeru, Marquez gembira memandangkan dia tidak perlu lagi bersaing dengan Lorenzo pada musim depan kerana mereka akan bekerjasama sebagai satu pasukan.

“Nasib baik Lorenzo tidak lagi bersama Ducati tahun depan. Honda melakukan keputusan yang sangat tepat kerana saya yakin dia mampu memenangi kejuaraan bersama jentera kami, bukannya dengan pasukan lain.

“Saya tidak sabar untuk menantikan saingan musim depan kerana ia bakal menjanjikan aksi menarik. Apa yang pasti, dia mampu menjadi pelumba lebih pantas de­ngan menunggang jentera Honda,” kata Marquez.

Pelumba Sepanyol itu juga dilihat semakin sukar digugat pada saingan musim ini apabila mendahului carta kejuaraan dengan perbezaan mata yang agak besar berbanding pencabar terdekat dari pasukan Mo­vistar Yamaha, Valentino Rossi.

“Saya gembira dengan perbezaan mata sekarang kerana ia berikan kelebihan kepada saya, lebih-lebih lagi Rossi adalah pelumba yang hebat. Bagaimanapun, saya tidak boleh leka kerana saingan musim ini masih belum tamat,” ujarnya. – Agensi